Thursday, January 22, 2009

Percubaan Cendawan Goreng Black Pepper (Frozen)



Alhamdulillah, percubaan mempromosi Black Pepper Oyster Mushroom kami buat kali pertama telah mula menampakkan hasil. Permintaan terhadap produk ini telah meningkatkan lagi semangat dan usaha kami untuk mempelbagaikan produk berasaskan cendawan ini. Malah yang lebih menyeronokkan apabila customer datang sendiri untuk membelinya. Walaupun produk seperti ini memang telah lama dipelopori oleh otai-otai cendawan sebelum kami, namun usaha yang dicurahkan berbaloi. Walaupun pada permulaannya, ramai yang agak keberatan untuk mencuba produk baru kami ini.

dengan serendah rm1.50 untuk 120gram, menunjukkan bahawa harga yang ditawarkan bersesuaian dengan kehendak customer. Kami berharap dapat memajukan lagi bidang ini dan harapan jika ada rakan2 yang dapat membantu memberikan idea yang bernas, komen amat dialu-alukan.

Wednesday, January 21, 2009

Bantuan Bekalan!


Salam semua.

Aduhai,... pengeluaran kami dengan bangsal sederhana ni memang tak dapat menampung permintaan yang tak putus-putus.

tak sangka dalam seminggu je dekat 50 kilo kena supply. tapi apakan daya, supply yang ada tak pernah cukup. jadi bantuan rakan2 supplier cendawan sangat2 diperlukan. dari bukit baru, taman laksamana, peringgit, bemban, habis dituju tapi masih tak terjumpa supplier yang dicari.

hampa, saya pun berhenti di hadapan stesen minyak Petronas berdekatan Peringgit Point untuk mengisi minyak. Tak sengaja mata meliar terlihat sekeping "Bunting/Banner" yang bakal menyejukkan hati. "Pengedar Cendawan - Cendawan Desa". terlihat sahaja Bunting beserta dua no telefon yang tertera, dengan pantas saya menyeluk kocek mengambil hp dan mendail.

no pertama.... tiada jawapan... hampa. no kedua... tiada jawapan... hampa juga.

saya berjalan menuju ke kereta dengan kehampaan kali keberapa entah. tiba-tiba, hp berbunyi menandakan adanya mesej. saya lihat nombor.. tidak dikenali tetapi isi kandungannya bertanya, Siapa?. Terus mata memandang kembali bunting tadi, sah ini no dari bunting tu. Saya menelefon kembali pengirim sms itu dan dijawab oleh Akak Mawar "Cendawan Desa". Rupanya kat atas motor, patutlah tak dapat jawab. Dengan pantas saya bertanyakan bekalan. Alhamdulillah ada. walaupun cuma 5 kilo sahaja yang diperlukan, dan jujur untung pun boleh kata xada (tolak duit minyak melilau cari supplier)namun cukup bermakna buat saya. Asalkan permintaan pelanggan dipenuhi.

Terima kasih buat Kak Mawar kerana bantuan yang diberikan.

Anyway, kepada sesiapa yang berdekatan nak jual cendawan, kami beli dengan harga RM6.00 sekilo. sila telefon saya (Saiful 013-2271255)untuk pertanyaan. Tapi jangan sampai cendawan tu terkoyak-koyak. skit-skit boleh diterima lagi. Ok thanx.

Wednesday, January 14, 2009

Cuka Kayu




Cuka Kayu @ Wood Vinegar

Rata-rata pengusaha tani tahu akan kebaikan dan kelebihan penggunaan cuka kayu/wood vinegar (Pyroligneous acid) . Penggunaan cuka kayu di dalam perusahaan cendawan juga banyak memberikan manfaat dalam penghasilan cendawan yang lebih bermutu dan tahan penyakit. Malah boleh digunakan untuk merawat masalah kulat hijau dan oren yang biasa di alami oleh kebanyakan pengusaha.
Cuka Kayu adalah produk yang terhasil daripada pembuatan arang. Ia merupakan cecair yang terhasil daripada asap pembakaran kayu segar di dalam ruang tertutup. Apabila asap pembakaran disejukkan, ia terkondensasi kepada cecair. Cuka Kayu mentah mempunyai lebih daripada 200 bahan kimia, seperti asid asetik, folmadehid, ethyl-valerate, methanol, tar, dan sebagainya. Cuka Kayu memperbaiki kesuburan tanah, agen penghalau serangga perosak, mengawal pertumbuhan tanaman TETAPI bertoksik untuk ikan dan sangat bertoksik untuk tumbuhan JIKA PENGGUNAAN YANG KETERLALUAN.

Namun begitu, jika nisbah yang betul digunakan, manfaat yang diberikan sangat banyak.
- Meningkatkan pertumbuhan akar, batang, ranting, dan daun, bunga dan buah.
- Dalam sesetengah kes, pertumbuhan sesuatu tumbuhan itu boleh dikawal dengan nisbah cuka kayu yang tertentu.
- Kajian menunjukkan setelah diaplikasikan ke atas orkid dan pokok buah-buahan serta cendawan, menghasilkan kuantiti buah dan cendawan yang lebih banyak.
- Cuka kayu adalah selamat digunakan. Terutamanya dalam rantaian makanan, seperti serangga yang membantu dalam proses pendebungaan.

Namun begitu, tahukah anda bagaimana cuka kayu ini dihasilkan? Berikut adalah kaedah paling asas yang digunakan dalam penghasilan cuka kayu.

Cuka Kayu biasa dihasilkan daripada pembakaran kayu baru di dalam tong dram yang diubahsuai dan dengan corong asap konkrit setinggi 120cm dan berdiamter 4 inci. Satu tong boleh memuatkan 63 hingga 83 kilogram kayu. Kayu yang digunakan untuk penghasilan Cuka Kayu perlulah mempunyai teras kayu.

PROSES PENGHASILAN CUKA KAYU

1.Kayu yang mempunyai teras kayu dirawat selamat 5-15 hari
2.Kayu dilonggokkkan di dalam tong dan susunan antara kayu harus mempunyai sedikit ruang untuk pembakaran yang sempurna. Kayu-kayu dibakar pada suhu 120-430 darjah Celcius(Gambar 1 dan 2).
3.Selepas 1 jam, Letakkan sekeping tile di atas corong asap. Jika cairan berwarna coklat atau coklat pekat, bermakna proses kondensasi sudah boleh dilakukan. Letakkan sebatang buluh yang telah ditebuk (membentuk corong seperti straw) di corong asap.
4.Sediakan bekas untuk menakung titisan-tisian cuka yang jatuh daripada buluh (Gambar 3).
5.Jika kayu dibakar selama 12-15 jam di dalam tong drum 200 liter. Cuka Kayu mentah yang dihasilkan mampu mencecah 2-7 liter.
6.Cuka Kayu mentah diperam selama 3 bulan untuk menhasilkan mendakan. Cuka Kayu tersebut berubah menjadi kekuningan seperti minyak sayur. Dan kemudiannya menjadi warna coklat keperangan dan tar akan termendak. Bahagian atas bekas akan mempunyai warna terang dan minyak jernih (Gambar 4 dan 5).

*Rujukan daripada Food & Fertilizer Technology Center, Taipei, Taiwan.
*Rujukan daripada Haris Iskandar & Kresno Dwi Santosa (Alternatif Pemanfaatan Limbah Kayu oleh Masyarakat)
*Gambar daripada Food & Fertilizer Technology Center, Taipei, Taiwan.
* Alih bahasa & olahan oleh MySpores Blogspot

Monday, January 12, 2009

Siapa ada Kucing?




Pada 2 bulan yang lalu, saya ada terjumpa sebuah kotak terbuang berisi anak-anak kucing di seberang jalan rumah saya. Anak-anak kucing itu dibiarkan di dalam kotak yang hanya dibekalkan semangkuk susu, sedangkan anak-anak kucing itu masih memerlukan ibu mereka kerana masih menyusu.

Untuk tinggalkan, tak sampai hati. Jika dibiarkan tentu akan mati kepanasan dan dahaga. Kucing adalah binatang kesayangan nabi. Saya juga sukakan kucing... Jadi saya pun mengambil kucing itu dengan harapan dapat membesarkannya walaupun sukar kerana mereka masih menyusu.

Saya ada seekor kucing yang juga pernah terbiar dan saya mengambilnya untuk dibela. Cocot namanya. Saya cuba menjaga anak2 kucing tersebut dan cuba sebolehnya agar Cocot dapat menerima anak2 kucing itu. Agar sukar juga.

Walaupun dengan jagaan yang rapi dan dengan pelbagai jenis botol susu dan susu diberikan, anak2 kucing ini memang sukar untuk hidup tanpa ibunya. Dan Cocot pula masih tak boleh menerima mereka. Akhirnya 3 daripadanya mati tanpa diketahui sebabnya. Tinggallah seekor yang nazak tetapi kali ini ia amat diberi perhatian. Cocot mula dapat menerima kucing yang terakhir ini. Daripada keadaan yang tenat, dengan penjagaan yang sangat rapi, kucing ini berjaya sihat semula dan dapat cocot pula semakin rapat dengannya. Seolah-olah naluri ibunya timbul walaupun Cocot masih belum setahun pun usianya, Cocot membawa anak kucing itu bermain bersama. Digendong selalu. Dan Sentiasa melihat anak kucing itu ketika anak kucing itu tidur di dalam bekas yang disediakan. Cocot bertambah aktif dengan kehadiran kucing lain sebagai temannya bermain.

Namun kegembiraan Cocot tak lama.. Pada suatu malam, Cocot tidur bersama anak kucing itu. Saya dapati anak kucing itu tidak bangat membuat bising. Tetapi apakan daya, anak kucing itu tidak dapat bernafas apabila cocot tertindih anak kucing tersebut ketika tidur. Saya Hanya perasan ketika menjenguk mereka setengah jam kemudian. Saya dapati cocor sedang lena tidur tetapi anak kucing itu pula hanya kelihatan kepalanya di sebelah cocot. rupanya tak panjang juga hayat anak kucing tersebut.

Saya terpaksa alihkan anak kucing tersebut. Selepas cocot bangun, dia seolah olah mencari-cari di mana temannya itu. dengan pelbagai bunyi, dan keluar masuk bekas anak kucing itu.

Sejak daripada itu, Cocot tak lagi berlari ke sana dan ke mari. Ia jatuh sakit dan batuk selalu. dan hanya tidur sepanjang hari. makan hanya kadang-kadang. Ada kala sehingga satu hari tak makan. hanya menghabiskan masa dengan tidur...

Moralnya... jika ada sesiapa yang membela haiwan, dan jika ada anak, biarkan dulu sehingga besar jangan dibuang begitu sahaja. Sebaiknya jika anda tak mahu peliharaan anda bertambah, hantar ke klinik haiwan untuk dikasikan. sekurang-kurangnya kita tak menyeksa haiwan.

Saya ingin bertanya pada rakan-rakan yang dekat dengan saya. Jika ada anak kucing yang anda tak mahu, boleh tak bagi pada saya? Saya nak jadikan teman cocot bermain. harap bukan masih menyusu. dan tak kisah apa jenis kucing. Saya dah dekat sebulan sebenarnya mencari kucing terbiar. dari taman sendiri, ke taman bersebelahan, dan pelbagai tempat. tetapi entahlah. mungkin orang kata bila tak dicari muncul, dan bila dicari tak pula kelihatan. Sekian, tamat post saya pada hari ini

Sunday, January 11, 2009

Kisah Suntik dan Rehat






Pada Ahad yang lalu, kami bersepakat untuk melakukan suntikan benih pada bongkah-bongkah baru dan melakukan pembersihan benih bagi bongkah-bongkah yang telah matang. Bongkah-bongkah baru hanyalah baru pada penutup sahaja, di mana kebiasaannya kami menggunakan penutup berasaskan filter span. tetapi kali ini kami cuba lakukan dengan penutup yang berasaskan filter kertas. Rata-rata pengusaha bongkah yang lain telah menyatakan kebaikan menggunakan filter kertas berbanding span, jadi kami pun mencuba dengan 1000 bongkah dengan tujuan untuk menguji perbezaan antara span dan kertas. Pada masa yang sama juga, saya cuba buat benda lain daripada yang lain pada paparan kali ini. :P

Rumah pertama kini hampir penuh dengan bongkah-bongkah, hanya tinggal beberapa meter dengan di bahagian hadapan rumah cendawan. Terpaksalah buat rak baru dan tempatkan untuk seribu lagi bongkah-bongkah baru itu. Dan sempit sket... Nampaknya bongkah-bongkah yang akan menyusul perlu ditempatkan di BIP Bemban pula. (Boleh la letak dalam 6-7 ribu lagi).

Kerja pada hari itu dimulakan dengan menyuntik bongkah-bongkah baru. Perbezaan agak ketara dengan penggunaan penutup kertas ini di mana leher dan penutupnya berdiameter lebih besar daripada penutup span. Suntikan benih dapat dilakukan dengan lebih cepat. :)

Setelah selesai proses suntikan. kami berhenti berehat sementara sebelum memulakan operasi pembersihan bongkah-bongkah matang. Kali ini terdapat lebih 15 bongkah telah dicemari oleh ulat-ulat yang kami sendiri tak tahu datang dari mana. tetapi setelah penelitian dibuat. rasanya, bongkah-bongkah ini mula tercemar apabila si kenit dedak padi ni, mengorek span pada penutup dan mula bertelur kat dalam bongkah.

Biasanya sisa-sisa biji gandum yang dikorek dibuang begitu sahaja, pada minggu yang lalu saya tidak membenarkan rakan saya membuang sisa2 tersebut tetapi sebaliknya biarkan sahaja dalam baldi dan ditutup. pada ahad yang lepas saya dapati kesemua sisa-sisa benih kembali memutih dilitupi miselium. ada diantaranya telah mula mengeluarkan payung2 kecil cendawan. saya pun tak pasti adakah cendawan-cendawan ini mampu membesar seperti cendawan di dalam bongkah. InsyaAllah saya akan berikan jawapan pada minggu hadapan untuk meneliti perkembangannya. :)

Sisa-sisa biji gandum pada minggu ini pula kami cuba bongkahkah seperti bongkah biasa. Dalam gambar yang ada 3 biji bongkah tu adalah antara sisa-sisa biji gandum yang dibongkahkan. Biasa la, bila kerja dah siap, mula la buat kerja yang lain pula. Perkembangannya juga InsyaAllah saya akan berikan nanti. Tapi tak tahulah boleh jadi tak sebab baldi yang buat isi sisa-sisa ni pun bukannnya dikukus atau disteril. just buat suka-suka. kalau ada, jadi lauk la nanti heh.

Sebut pasal lauk, hmmm.... memang ada. heheh. Banyak gak cendawan NAKAL yang tumbuh curi-curi melalui tepi penutup. Hmm... memang tak sabar dier nih. kutip dan kutip ada la sket cukup lauk sehidang. kekeke... malam ni baru nak masak. :P yummm...

Monday, December 22, 2008

Benih OH Benih....





Perusahaan cendawan di BIP Bemban ini sememangnya satu peluang yang sangat baik buat kami untuk membesarkan perniagaan kami. Ditambah pula projek ini sudah dapat dimulakan.

Tetapi yang amat mengejutkan segala bahan yang diterima hanya sekali sahaja. bermakna selepas ini kami perlu membeli bahan2 dengan duit poket sendiri setelah bahan habis digunakan. Jadi bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian hanyalah sekali dalam bajet setiap tahun. Dan projek ini termasuk di dalam bajet untuk tahun 2009. Oleh itu segala bahan diterima dalam kuantiti yang besar.

Jika penutup, plastik, dedak, kapur dan habuk kayu masih boleh diterima jika kuantitinya besar. Namun jika benih...? aduhai... kami masih boleh dianggap kecil dalam perusahaan ini. Dengan bekalan benih sebanyak 600 botol untuk 4 peserta. (150 botol bagi setiap peserta), adalah mustahil untuk dihabiskan kesemuanya dengan segera. Kami mengambil 70 botol untuk digunakan dahulu di dalam tapak pertama kami, dan hanya lebih kurang 25 botol digunakan untuk 800 bongkah yang telah kami siapkan.
Dan lebih mustahil buat 3 peserta lain yang masih baru di dalam bidang ini terutama sekali bila dapur kukus yang dibekalkan jabatan pertanian hanya ada dua (saiz tong dram biasa). Bila nak kejar buat bongkah dan berapa lama masa yang digunakan pula untuk kukus bongkah-bongkah tu? Para peserta tidak kesemuanya dapat lakukan projek ini setiap hari kerana bekerja.

Saya cuma dapat memberikan idea untuk memasukkan benih2 tersebut di dalam peti sejuk untuk melambatkan pergerakan miselium. dan satu cara lain ialah dengan menggunakan beg yang besar (gambar ke-2: menggantikan bongkah standard) untuk penghasilan cendawan secara besar-besaran dan sekali tuai daripada membazirkan benih yang banyak.

Jika rakan2 ada idea, berilah pandangan. kami hargainya.

Sunday, December 21, 2008

BIP Bemban - Permulaan Kerja-Kerja Awal




Setelah beberapa ketika menunggu, akhirnya tibalah masa yang dinanti. Tempat kedua projek cendawan sudah boleh beroperasi. Walaupun dengan kekurangan pelbagai peralatan dan tempahan pengukus tambahan masih belum tiba, namun segala bahan untuk pembuatan bongkah sudah ada, kecuali kapur pertanian.

Namun para peserta tidak putus harapan apabila kami sedia menjual kapur kami kepada mereka untuk dapat meneruskan usaha pembuatan bongkah.

Kami yang sudah memulakan perusahaan ini memberikan segala ilmu dan tunjuk ajar seberapa banyak yang mampu untuk berkongsi dan membantu para peserta yang masih baru walaupun kami juga adalah peserta seperti mereka. Jika mereka berjaya, kami juga berbesar hati dan berharap mendapat keberkatan dalam usaha kami untuk maju di dalam bidang ini. (gambar di bawah, sebelah kanan) Rakan kongsi saya saudara Azli sedang memerhatikan para peserta dalam pembuatan bongkah. Yang si kecil sebelah dia tu bukan peserta ye? Tu anak sulung dia, Afiq. :P